Post by fitri on Feb 15, 2012 9:15:23 GMT 8
Assalamualaikum w.b.t
Soalan ini kerapkali diajukan oleh pelaut-pelaut baru terutamanya apabila mereka mencari pekerjaan di kapal-kapal sokongan luar pesisir (Offshore Support Vessel – OSV) bagi indutri minyak dan gas.
Mengapa?
Ada beberapa sebab. Ada pelaut baru yang akan keliru yang mana satu lebih penting? Latihan mana yang WAJIB dijalankan? Seringkali juga mereka mendapat maklumat yang silap daripada pengurus manning syarikat-syarikat OSV.
“BST ni dah tak laku, kamu mesti ada BOSET”
“BOSET lebih penting, ini latihan antarabangsa”
Baiklah, ini adalah penyelesaian bagi segala kekeliruan.
Basic Safety Training – BST
Pelaut-pelaut di seluruh dunia adalah tertakluk kepada latihan dan persijilan di bawah Kod Antarabangsa STCW (Standard of Training, Certification & Watchkeeping for Seafarers). Jadi, untuk bertugas di atas kapal, pelaut-pelaut mestilah mematuhi kod ini.
Secara asasnya, untuk menjadi seorang pelaut dan bertugas di kapal, sama ada sebagai kelasi, pegawai atau jurutera, setiap pelaut mestilah memiliki kad pelaut, telah menjalani dan lulus pemeriksaan perubatan yang disyaratkan oleh Jabatan Laut Malaysia, dan juga telah menjalani latihan asas keselamatan – BST. Ketiga-tiga keperluan tersebut adalah keperluan paling asas sebagai pelaut.
Oleh itu, dengan amat jelas, untuk menjadi pelaut dan bertugas di kapal, BST ADALAH SATU KEMESTIAN!
Basic Offshore Safety Emergency Training – BOSET
Setiap kapal adalah tertakluk pada undang-undang dan peraturan tempatan dan peraturan antarabangsa. Di Malaysia, setiap kapal perlu mengikuti segala peraturan yang disyaratkan oleh Jabatan Laut Malaysia.
Selain itu, apabila sesebuah kapal terlibat sebagai kapal sokongan bagi indutri minyak dan gas luar pesisir, kapal tersebut perlu pula mengikuti syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh industri minyak dan gas.
Secara amnya, latihan dan persijilan untuk industri minyak dan gas adalah diselia oleh OPITO – Offshore Petroleum Industry Training Organisation. Oleh itu, pelaut yang bertugas di atas kapal OSV perlulah mematuhi segala peraturan yang disyaratkan oleh OPITO, sebagai tambahan bagi syarat-syarat STCW.
Jadi, apabila OPITO mensyaratkan setiap personal yang terlibat dalam industri minyak dan gas luar pesisir, bukan sahaja pekerja pelantar tetapi juga pelaut di atas kapal OSV supaya perlu menjalani latihan BOSET, maka pelaut di kapal OSV perlulah mematuhinya.
Dengan perkataan yang lebih mudah, pelaut yang bertugas di atas kapal OSV perlu mematuhi kedua-dua peraturan – OPITO dan STCW. Tiada pengecualian, tiada keutamaan.
Pelaut (STCW) = BST
Offshore Oil & Gas (OPITO) = BOSET
Pelaut + Offshore Oil & Gas = BST + BOSET